Nov 13, 2013

Delay! Delay! Delay!

1 comments
Assalamualaikum.

Lama sangat tak menconteng tinggal jejak di ruangan ini. Terlalu banyak kekangan. Atau cuma alasan? Heh. Andai ada pembaca yang singgah, andai ada wujudnya insan yang menunggu tiap baris dan coretan, aku mohon maaf atas kelemahan dan keterlewatan. Sesungguhnya, Cik Doktor juga perlu mencari masa terluang. Dan yang terluang itu bukannya senang untuk dicari.

Akan cuba meneruskan bab-bab yang tertangguh. Walaupun blog ini coretannya tidaklah sehebat mana, tapi akan cuba untuk belajar mencoret sesuatu yang hebat. Harapannya aku dapat menyelesaikan bait-bait coretan yang tertangguh. Ini impian aku.

Jika ada yang membaca, terima kasih hendaknya. Mohon maaf andai ada khilaf dan kekurangan. Assalamualaikum.



MODE MENULIS DIAKTIFKAN SEMULA!!!


Sep 7, 2013

Prolog : My Love, Cik Doktor

0 comments

LAGU TEMA PROLOG : AFGAN - PESAN CINTA



      Aisya Farhana turun dari kereta yang diparkirnya betul-betul berhadapan dengan rumah agam tiga tingkat itu. Dari luar sudah terpancar aura kemeriahan yang menyerikan lagi rumah agam itu. Kanak-kanak berlari-lari keriangan di luar rumah sambil memegang goodie bag, tetamu-tetamu yang datang pula ada yang masuk ke dalam rumah, ada pula yang menuju ke khemah untuk menjamu selera. Lagu "Selamat Pengantin Baru" nyanyian Saloma terasa seolah bergema di seluruh kawasan taman perumahan tersebut.
Aisya membetulkan kurung putih yang tersarung di tubuhnya. Ini saja yang sempat disarung ke tubuhnya, memandangkan dia baru saja pulang dari menyelesaikan beberapa prosedur sebelum bertolak ke luar negara lusa nanti untuk menyambung pengajiannya. Keputusan SPM yang diperolehnya beberapa bulan lepas begitu cemerlang hingga melayakkan dia mendapat tawaran meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan.
"Ah! Tak mengapa. Tak perlu cantik bergaya sangat. Bukan aku yang nak bersanding." Bebel Aisya pada dirinya apabila melihatkan tetamu yang datang semuanya bagaikan diva meletop.

CREDIT PICTURE THIS SITE

Rambutnya yang pendek itu diselitkan ke belakang telinga supaya kelihatan kemas. Perlahan-lahan kakinya dihayun menuju ke rumah agam dihadapannya. Hari ini hari persandingan bagi pihak lelaki. Kakaknya, Alia Firhani telah selamat disatukan seminggu yang lalu bersama jejaka pilihan hatinya, Arif Firdaus. Aisya tumpang gembira kerana kakaknya yang tersayang telah bertemu bahagia. Dalam tak sedar, dia tersenyum sendirian memikirkan kisah bahagia kakaknya. 
Dari jauh ada mata yang memerhati gerak-gerinya sejak dia turun dari kereta lagi. Lelaki itu memandang Aisya tanpa berkedip. Anak muda itu menyoroti setiap langkah gadis berkurung putih itu hinggalah dia masuk ke dalam rumah dan hilang dari pandangan.
"Akmal Faiz! Haa. Buat apa? Dari tadi mama cari kamu." Anak muda itu terkejut apabila disergah dari belakang oleh mamanya.
"Mama! Terkejut Akmal. Kalau Akmal ada sakit kencing manis, dah lama gol." Seloroh Akmal.
Mamanya menggeleng-gelengkan kepala sambil mencubit perutnya. "Banyak kamu punya kencing manis. Amboi. Umur baru 15 tahun ada hati duduk mengusha anak dara orang ya."

Akmal mengekek-ngekek ketawa sambil meliuk lentokkan badannya dan menolak tangan mamanya, terasa geli pula bila dicubit di perut.
"Dah, kamu pergi khemah tolong apa patut. Mana makanan yang nak habis, tambah lagi. Lepas itu, pergi jenguk abang kamu si Arif tu dalam bilik." Arah mamanya satu persatu, lagak tak ubah seperti mem besar.

CREDIT PICTURE TO THIS SITE
Akmal menurut tanpa banyak kata. Mulutnya bersiul sambil menyanyikan lagu Milik Siapakah Gadis Itu. Keayuan gadis yang lalu di hadapannya tadi seperti sukar untuk dia usir dari fikiran. Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil tergelak kecil. Sah, Akmal Faiz sudah angau.
Aisya melihat wajah kakaknya yang lengkap bermekap dan anggun dalam busana songket merah. Terpesona dia memandangnya. Kalau dirinya lelaki, pasti dia sudah jatuh cinta. Detik hati Aisya tiba-tiba.
"Ibu dengan ayah bila sampai adik?" Pertanyaan kakaknya itu mematikan lamunan Aisya.
"Ibu kata sebelum akak bersanding, confirm dia sampai." Beria benar Aisya menjawab soalan dari kakaknya. Tiba-tiba dia rasakan perutnya memulas-mulas. Bergegas dia keluar dari bilik itu dan mencari tandas di rumah agam itu. Kakaknya hanya terpinga melihatkan gelagat adiknya.
Kelegaan jelas terpancar di wajah Aisya. Dia memperbetulkan baju kurungnya sambil berjalan menuju ke bilik kakaknya. Tiba-tiba dia rasakan seperti berlanggar dengan sesuatu yang besar. Kepalanya terasa sedikit berpusing. Baju kurung putihnya tadi tercalit sedikit warna kemerahan. Seketul ayam masak merah jatuh ke lantai. Aisya mengangkat pandangannya dan melihat seorang budak lelaki gempal di hadapannya. Mulut budak lelaki itu sememeh dengan kuah berwarna kemerahan. Tiba-tiba Aisya terasa geli hati melihatkan budak lelaki itu.

CREDIT GIF TO THIS SITE
Budak lelaki itu pula kelihatan masih kaget dan berada di awang-awangan. Dalam tak sedar, dia mengeluarkan sapu tangan dari dalam poketnya dan menghulurkan kepada gadis itu. Gadis itu kelihatan sedang ketawa kecil sambil menyambut sapu tangan yang dihulurkannya. Ucapan terima kasih yang keluar dari bibir gadis itu terasa seperti angin pantai yang menyapa wajahnya, terasa begitu mendamaikan. Gadis itu berlalu pergi setelah memulangkan semula sapu tangan tersebut. Tiba-tiba budak lelaki itu terasa seperti baru tersedar dari lamunan yang panjang.
"Sekejap cik! Ada name card tak?" Budak lelaki itu bersuara dengan penuh keyakinan.
Aisya tergelak mendengar soalan dari budak lelaki di hadapannya. Laju saja Aisya menyelongkar beg tangannya. Sebatang pen dan sehelai kertas kecil dikeluarkan. Aisya mencatat sesuatu di kertas tersebut lalu menghulurkannya kepada budak lelaki itu sambil tergelak kecil.

Budak lelaki itu menyambut huluran kertas tadi sambil melihat gadis itu berlalu pergi dan hilang sekali lagi dari pandangan matanya. Dia melihat kembali kertas di dalam genggaman tangannya.
"TERIMA KASIH ADIK KECIL. UNTUK SAPU TANGAN. YANG BENAR, KAKAK."
Budak lelaki itu memuncungkan mulutnya sambil berkata, "Saya bukan budak kecil, nama saya Akmal Faiz."
Tapi Akmal sedar gadis yang menggelarkan dirinya kakak itu tak mungkin mendengar apa yang dikatakannya. Semenjak dari saat dan ketika itu, dia tidak pernah lagi melihat atau bertemu kembali dengan gadis ayu berkurung putih itu. Ingatan Akmal Faiz tentang gadis berbaju kurung putih yang ditemuinya di majlis perkahwinan abangnya itu makin pudar saat dia semakin menginjak dewasa.

CREDIT PICTURE TO THIS SITE


BERSAMBUNG . . .
:)

Sep 4, 2013

Teaser Novel My Love, Cik Doktor

0 comments
Assalamualaikum.

Berterima kasih pada Allah kerana diberikan kesempatan dan kelapangan masa untuk aku melempiaskan minat aku terhadap penulisan melalui laman ini. Sebelum ini 2 cerpen telah selamat dipublish, keinginan untuk menulis itu makin hari makin melonjak. Maka lahirlah idea untuk karya My Love, Cik Doktor.


Di sini, aku ingin kongsikan serba sedikit tentang watak utama yang akan menghiasi novel sulungku ini. Harapan aku, moga penulisan aku ini mampu diterima dan diminati. Jika ada yang tidak berkenan atau kurang selesa, bolehlah tujukan sebarang kritikan membina supaya aku dapat memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri. Sesungguhnya saya budak baru belajar.

Terima kasih. ^^


Akmal Faiz, 25 tahun, graduan dalam bidang Architechture.
Pulang saja ke Malaysia setelah menamatkan pengajiannya, dia bekerja di resort keluarganya. Bukan sebagai seorang arkitek, tapi sebagai seorang tukang kebun yang berusia lewat 40-an. Semuanya gara-gara ingin menjalankan projek suprise iaitu melamar kekasihnya, seorang model cantik, Lisa Iwani. Berjayakah Akmal Faiz melaksanakan projek suprisenya itu? 

Perkenalannya dengan Aisya Farhana, doktor yang bekerja di resort tersebut membuka satu dimensi baru dalam kehidupannya. Hatinya sering tertanya, siapakah gadis itu? Apakah hati Akmal Faiz akan berubah? Atau sememangnya hati dia tak pernah langsung berubah?



Aisya Farhana, 28 tahun, bekerja sebagai doktor di sebuah resort yang terkemuka di selatan tanah air.

Janjinya pada arwah kakaknya membuatkan dia bekerja di resort tersebut. Dalam tak sedar, dia telah menghadirkan rasa cinta dalam diri bekas abang iparnya, Arif Firdaus. Mungkinkah kerana rasa simpati dan kasihan pada anak buahnya yang tidak beribu, hati Aisya Farhana akan menerima Arif Firdaus? Sedangkan dalam hatinya, seperti ada rasa sesuatu yang pelik tapi indah saat pertama kali dia bertemu pakcik tukang kebun yang poyo itu.

Tanpa Aisya Farhana tahu, pakcik tukang kebun itu adalah Akmal Faiz, adik kepada Arif Firdaus. Antara dua jejaka, milik siapakah hati Aisya Farhana?


Arif Firdaus, 33 tahun, pengarah resort milik keluarganya.

Arif Firdaus adalah abang sebapa tapi berlainan ibu kepada Akmal Faiz. Namun itu tidak pernah menjejaskan kasih sayang untuk adiknya itu. Setelah kematian isterinya 2 tahun selepas perkahwinan mereka kerana melahirkan anak, hidup Arif Firdaus berubah sama sekali.

Kehadiran Aisya Farhana yang bekerja di resortnya membuatkan ingatannya pada isteri tercinta hidup kembali. Sudah jatuh cintakah dia buat kesekian kalinya? Arif Firdaus terus menerus menepis rasa. Apakah akan terjadi bila dia tahu Akmal Faiz juga ada rasa untuk Aisya Farhana? Tiba-tiba Aisya Farhana yang menjadi tunang olok-oloknya mahu dilamar dan dijadikan isteri. Apakah Arif Firdaus mahu berjuang berhabisan untuk mendapatkan Aisya Farhana?


Lisa Iwani, 24 tahun, model terkenal.

Namanya secantik wajahnya tapi sayangnya perangainya terlalu mengada-ngada dan hatinya terlalu banyak rasa hasad dengki. Lisa Iwani merupakan dua pupu kepada Aisya Farhana. Apakah perasaannya bila dia terpaksa bersusah payah untuk mendapatkan cinta kekasihnya sendiri? Lisa Iwani mampu berbuat apa saja asalkan Akmal Faiz menjadi miliknya.

Aisya Farhana perlu dibuang dari hidup Akmal Faiz. Lisa Iwani bertekad dalam hati.


* * * * *

Serba sedikit pengenalan untuk watak-watak yang akan hadir dalam novel My Love, Cik Doktor ini. Harapnya aku terus berusaha dan beristiqamah untuk menyiapkan karya ini. 2 bab sudah pun selesai. InsyaALLAH selesai saja beberapa bab lagi, aku akan publishkan di sini. Doakan ya.

Assalamualaikum.
:)