#1 Cerpen : Terima Kasih Sayang | Ketukan Jemari Riang Gembira


Aug 31, 2013

#1 Cerpen : Terima Kasih Sayang



 Dua pasang mata itu merenung jauh. Sekali sekala angin bertiup lembut menyapa pipi. Kelihatan parut-parut masih lagi bersisa di wajahnya yang mula muncul kedut-kedut ketuaan. Tersenyum dia memikirkan sang kekasih hatinya, sering saja memuji betapa cantiknya dia jika tersenyum walau usia sudah cecah angka 40.


  Damai suasana petang itu, duduk di beranda petang-petang begini memang jadi rutinnya bersama suami tercinta semenjak di awal perkahwinan lagi. Itupun jika masing-masing tidak dihambat jadual kerja yang padat. Sayangnya, sudah 2 bulan dia tidak merasa nikmat berkasih sayang di beranda ini bersama yang tercinta. 2 bulan dia terlantar di katil hospital, dengan segala macam alatan dipasang di tubuhnya. 2 bulan itu juga, dia seolah terputus hubungan dengan dunia luar. Tidak dapat bergerak, tidak dapat berbicara walau sepatah pun kata, tidak mampu membuka sepasang matanya, dan tidak mampu mengukir walau sekuntum senyuman pun seperti selalunya. Dia koma untuk 2 bulan lamanya.

  Namun, syukur dirinya ke hadrat Allah, kerana dia masih bisa merasa, mendengar dan mengerti apa yang berlaku di sekelilingnya, cuma tidak mampu dizahirkan saja. 2 bulan di perbaringan, hampir setiap hari, suaminya pasti datang menjenguk. Suaminya duduk di sisinya, mencapai tangan yang tiada mampu digerak itu, kadang mulut suaminya tak henti bicara, macam bertih jagung. Soal kerjanya yang sentiasa sibuk dan memenatkan. Mengadu perihal masakan yang dimasak, yang kadang-kadang hangus dan tak menjadi. Cerita anak-anak mereka di sekolah. Kadang waktu, suaminya diam membisu seribu bahasa, cuma yang mampu didengar, esak tangis dan air panas yang terasa menitik di tangan dan kadang di dahinya. Hatinya sakit. Benar-benar sakit mendengar tangisan suami tercinta itu. Dia cuba bangkit, paksa dia untuk membuka mata, tapi tiada dayanya.



  Hari itu suaminya datang menjenguk seperti biasa. Kedengaran kerusi ditarik ke sisinya. Suaminya bertanyakan khabar dirinya seperti biasa. Katanya dia bawakan sesuatu. Hidung itu terbau sesuatu yang memang sudah acapkali dibaunya jika suaminya datang menjenguknya. Bau segarnya epal merah. Buah kesukaannya.

“Sayang. Cuba teka hari ini hari apa?”

“Hari ini hari istimewa awak. Hari tua awak. Hik. Hik.” Ada sendu di hujung bicara suaminya dan gelak kecil itu seolah dipaksanya.

“Ingat lagi tak, 16 tahun lalu, di hari ini, saya ada buat sesuatu yang istimewa?”

  Dia ingin bicara. Dia ingin menggerakkan sepasang bibirnya itu. Dia ingin kata pada suaminya, ya, dia masih ingat, 16 tahun yang lalu, suaminya itu bikin dia menangis teruk. Menangis di hari tuanya, semuanya kerana sebiji epal merah. Hatinya meronta ingin bangun. Dia ingin tatap wajah suami yang dicintainya itu. Dia ingin capai sepasang tangan itu, ingin disalam dan diciumnya seperti yang dilakukannya saban pagi sebelum keluar bekerja. Tiba-tiba kedengaran azan berkumandang.

  Allahhuakbar. Allah Maha besar. Syahdu kedengaran azan pada hari itu. Usai berkumandang azan, tiba-tiba, mata itu seolah diberi satu kekuatan, dibukanya perlahan-lahan. Disoroti segenap ruang bilik itu, mencari wajah kesayangannya. Dalam kekecohan doktor dan jururawat yang keluar masuk biliknya itu, sepasang matanya tertancap pada sebiji epal merah di meja sisi. Tangannya yang masih lemah itu, diangkat perlahan-lahan. Masih terasa kebas-kebas. Epal merah itu berjaya dicapai lalu dipandangnya. Terukir atasnya perkataan untuknya di hari istimewanya itu.



  Untuk kesekian kalinya, di hari istimewanya, epal merah bikin dia nangis lagi. Air mata kasih itu tumpah dek kerana kasih dan sayang yang menggunung dari suaminya. Tiba-tiba, matanya terpandangkan susuk tubuh yang amat dirinduinya di pintu bilik. Wajah itu ditatapnya dalam-dalam. Ada degupan terasa di dadanya. Degupan yang sama dirasanya seperti saat pertama kali mereka diijabkabulkan, dan menjadi isteri yang sah kepada suami tercinta. Degupan itu juga yang dirasanya kali ini tatkala melihat wajah itu. Sama dan tak pernah surut degupan itu.
Lelaki di hadapannya itu dilihatnya menangis lagi buat kesekian kali. Sebuah tangisan penuh kesyukuran.

* * *

  Tiba-tiba sepasang tangan menyeka air mata yang jatuh di pipinya itu. Kepala ditoleh dan dilihat suaminya tersenyum berdiri di sisinya.

“Abang. Saya tak boleh janji apa-apa, tapi saya akan cuba untuk tak buat abang menangis lagi kerana saya.”

“Macam mana sering abang buat saya tersenyum, saya pun akan selalu buat abang senyum. Senyum untuk hari ini, untuk esok dan untuk bila-bila.”

Suaminya itu tersenyum. “Awak dah pun buat saya tersenyum saat awak bangun dan senyum ke arah saya.”

Si isteri menyambung lagi. “Sayang. Terima kasih ya untuk 2 bulan yang menyeksakan awak. Terima kasih untuk 2 bulan masa awak menjaga saya tanpa jemu. Terima kasih sayang.”

  Tangannya mencapai sebiji epal di sisinya dan dihulurkan pada suaminya. Terukir sesuatu di atas epal itu.

“Saya tak pandai ukir cantik-cantik macam abang. Saya punya herot berot. Tapi tak apa kan?”

  Suaminya mencapai dengan kedua tangan, dilihatnya epal itu.



  Air mata lelakinya perlahan-lahan mengalir, dikucup dahi isterinya. Lama-lama. Dia tersenyum. Perlahan dia mendekatkan bibirnya pada telinga isterinya, “Sama-sama sayang. Saya cintakan awak. Dan kali ini yang ke satu juta kali dan dua.”

* * *

“Assalamualaikum!! Ummi! Abah!” Suami isteri itu menjengah dari beranda sambil menjawab salam. Kelihatan dua orang anak kesayangan mereka senyum lebar memandang mereka, manis berbaju kurung keduanya, mengendong beg sandang belakang, penat kelihatan pada wajah mereka, maklum saja baru pulang dari sekolah.

  Itulah harta dia dan suaminya yang paling berharga, tanda kasih sayang dan cinta mereka. Alia dan Amira, anak kembar mereka yang berusia 14 tahun. Dia merasa bahagia kini. Terima kasih Ya Allah. Dipandang wajah suami di sisinya, terucap lagi buat kesekian kalinya, “Terima kasih sayang.”



0 comments: