#2 Cerpen : Sayang, Kamu Saja! | Ketukan Jemari Riang Gembira


Sep 1, 2013

#2 Cerpen : Sayang, Kamu Saja!



Assalamualaikum.

Sayang, Kamu Saja ini ditulis sekitar tahun 2012. Diolah dan diubah suai kembali mengikut rasa dan feel yang sesuai. Cerpen ini adalah PROLOG dan EPILOG untuk cerpen Terima Kasih Sayang. Selamat membaca.
:)


31 JANUARI 2028

   Petang itu aku duduk di balkoni rumah menikmati angin petang. Sudah hampir setahun aku sembuh sepenuhnya dari kemalangan yang menyebabkan aku koma selama 2 bulan. Ujian yang terbesar untuk aku, suami dan juga anak-anak. Aku cukup bersyukur dikurniakan suami yang sentiasa ada di sisi dan selalu bersabar sepanjang aku terlantar sakit setahun yang lalu. Tiba-tiba lamunan aku terhenti. Aku tersenyum memandang suamiku yang sedang berjalan menuju ke balkoni. Di tangannya ada sepinggan kecil epal merah dan hijau yang telah dipotong. Aku cuma tersenyum lebar memandangnya.



   Kami berdua menikmati manisnya epal yang ditabur sedikit garam itu sambil menghirup udara petang. Sempat juga aku mencuri pandang suamiku yang sedang duduk di sebelahku membaca suratkhabar. Dia masih lagi kacak, getus hatiku. Tiba-tiba, suratkhabar itu ditutupnya. Suamiku merapatkan wajahnya ke wajahku. Dan dia mengenyitkan mata kepadaku. 


"Eeee! Gatalnya abang!" Sambil tanganku mencubit manja pahanya dan menolak tubuhnya ke belakang.

"Awak yang tenung saya dulu. Nak mengorat sayalah tu." Cebik suamiku sambil membuat mimik muka yang menyakitkan hati.

   Tiba-tiba ada suara lain mencelah.

"Ehem! Ehem! Amboi ummi dengan abah. Umur dah 40 lebih pun bercinta macam orang muda." Usik anak-anak kembarku, Amira dan Alia.

Suamiku pula menyampuk tiba-tiba. "Eh excuse me okay. Abah masih angka 3 lagi. Ummi kamu yang dah masuk angka 4. Haha."

   Aku menjelirkan lidah pada suamiku, tanda protes. Tiba-tiba, Amira bertanyakan sesuatu yang memang tak aku jangka.

"Ummi! Siapa Mr. Secret Smile? Amira terbaca dekat blog lama Ummi." Beriya-iya sungguh Amira mahu tahu.

   Aku pandang suamiku. Aku lihat ada riak cemburu di wajahnya. Suratkhabar yang dilipatnya tadi, dibuka semula. Pura-pura baca. Aku hanya tersengih saja melihat gelagat suamiku yang seperti anak kecil itu.

"Amira dan Alia nak dengar satu cerita tak? Kisah Ummi, abah dan Mr. Secret Smile."


DISEMBER 2010

   Aku membelek-belek nota yang bersepah di atas meja. Sambil sebelah tangan menggaru kepala, sebelah lagi menghirup secawan kopi yang sudah sejuk. Tahun ini merupakan tahun keempat aku di fakulti perubatan. Maknanya ada lagi satu tahun untuk aku kerja keras sebelum peperiksaan akhir. Kadang-kadang ada juga rasa menyesal datang mengasak hati dan fikiran, menyesal mengambil bidang perubatan. Tapi pemikiran itu selalu aku usir jauh-jauh. Orang kata, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke lengan. Alang-alang mandi, biar basah.

   Rasa bosan mula mengisi segenap ruang bilik aku. Aku capai laptop di depanku. Ketika itu kepala otak aku hanya berfikir mahu update blog. Sudah setahun aku berblog, itulah terapi untuk aku bila aku stress belajar. Melalui blog juga aku kenal ramai orang, aku belajar banyak benda. Dan mula mengenali Mr. Secret Smile. Orang maya yang selalu buat aku senyum bila aku stress, yang buat aku gelak bila aku sedih, yang buat aku tersengih bila tengah masak.

   Tiba-tiba handphone aku berbunyi. Ada mesej yang masuk. Aku lihat nama pengirimnya. Panjang umur dia. Sahabat itu. Ujar aku dalam hati. Inilah manusia yang paling kekwat. Bila kita minta nombor telefon dia, dia tak bagi. Dia minta pula nombor telefon kita. Ingatkan mahu disimpan nombor buat pekasam, rupanya sms tapi tersalah nombor, nyonya pula yang membalasnya. Tergelak aku mengingatkan cerita dia.



"Aku on the way nak balik KL naik bas. Sila temankan aku." Terkebil-kebil aku membaca mesej pendek tersebut.

"Pakcik bas kan ada. Suruhlah dia teman." Aku balas dengan bersopan santun dan berjual mahal.

"Doktor seorang ni, sombong sangat. Haha. Eh! Kau ada adik eh?" Tiba-tiba topik bertukar. Aku layankan saja kerenah sahabat itu.

"Ada. Kenapa? Nak berkenalan?" Aku sedar soalan itu ada sikit berbaur cemburu. Eh! Mana ada aku cemburu. Mana mungkin. Shuh shuh!

"Eh! Tak tak tak. Aku lagi berminat dengan kakak dia." Balas orang di talian sana.

   Aku hanya ketawa kecil. Ada sedikit rasa gembira. *Cubit pipi sendiri. Gatalnya!*

* * * * *

"Eh! Siapa Mr. Secret Smile yang kau selalu tulis dalam entry?" Bertanya dia padaku melalui satu pesanan ringkas pada suatu hari.

Aku balas pendek, "Rahsia."

"Semoga berjaya dengan kisah kau dan Mr. Secret Smile. Aku doakan." Satu lagi pesanan masuk daripada orang di talian sana.

   Aku campak telefon ke tepi. Sebak dengan pesanan ringkas dari sahabat itu. Begitulah saban hari. Tahun berganti tahun. Bergurau senda. Bertikam lidah. Berkecil hati. Semuanya pernah dirasai. Persahabatan yang terbina sejak dari 2009 lagi. Persahabatan yang indah tapi kadang ada juga sedihnya. Sedihnya kerana aku sayang sahabat itu. Indahnya kerana aku suka Mr. Secret Smile juga. Lebih dari suka. Hampir pada sayang. Tapi belum jadi cinta.


* * * * *


OKTOBER 2012

   Sudah hampir 3 bulan aku bergelar Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Kuala Lumpur. Siang dan malam dah tak ada beza. Kadang waktunya, aku terasa seperti zombi berjalan tapi bukan di Kampung Pisang mencari otak, otak dan otak. Kehidupan aku berlalu seperti biasa. Tak seperti zaman belajar dulu yang penuh warna-warni. Waktu lapang saja keluar bercanda bersama teman-teman serumah. Waktu sengkang saja memandang laptop dari pagi sampai ke malam. Zaman yang juga ada sahabat itu, yang ada Mr. Secret Smile. 

   Kini, telefon bimbit aku jarang lagi berbunyi seperti dulu. Kalau ada pun, telefon dari hospital. "Doktor pesakit ini muntah, doktor pesakit itu pengsan, doktor datang sini, doktor pergi sana." Masa seperti telah menjarakkan aku dengan sahabat itu. Tapi, Mr. Secret Smile tetap dihati. Tetap aku coret namanya di lewat entry. Tanda ingatan aku yang tak pernah surut dan pergi.

   Suatu hari aku mendapat perkhabaran tergempar dari emak. 

"Ada orang masuk meminang awak. Awak nak ke tak nak?" Ujar mak dengan nada seperti Rozita Che Wan sambil sibuk menggoreng ikan.

   Aku kelu. Otakku kosong. Terima? Atau tolak? Sepanjang minggu itu, aku terus-terusan keliru. Aku teringat sahabat itu, aku teringat Mr. Secret Smile. Aku berdoa meminta petunjuk dariNYA. Moga setiap keputusanku adalah yang terbaik.

"Mak. Orang terimalah." Ringkas saja jawapan yang aku beri pada mak. Aku sudah nekad. Mungkin ini yang terbaik. Aku senyum kelat.


DISEMBER 2013

"Sikit lagi puan. Sikit lagi. Push! Push!" Berpeluh-peluh aku menahan sakit. Walaupun sebagai seorang doktor aku sudah biasa menyambut kelahiran bayi, tapi inikan pengalaman sendiri. Mana nak sama. Tangan suamiku disebelah aku genggam macam nak patah tulang jemarinya.

"Tahniah puan! Kedua-dua anak puan selamat dilahirkan." Jururawat mendukung kedua-dua bayiku dan meletakkan mereka di dadaku. Aku menatap sayu wajah mereka. Besar kuasa Tuhan. Syukur Ya Allah. Seterusnya suamiku pula mendukung puteri-puteri kami dan melaungkan iqamat di telinga kecil mereka. Aku memandang mereka dengan rasa sebak dalam hati. Merekalah nyawaku. Kekuatanku.


   Selamat akhirnya aku melahirkan sepasang bayi kembar perempuan. Suamiku tak henti-henti mengucup dahiku sambil berbisik, "Terima kasih sayang." Aku pandang wajah suamiku yang kacak berkaca mata. Fikiran aku menerawang kembali saat pertama kami "berkenalan", sebelum termeterainya ikatan suami dan isteri.

* * * * *

"Dah lama aku tak dengar cerita kau. Tak sangka kita dijodohkan antara satu sama lain ya." Ada sedikit terkejut saat pertama kali aku bertentang mata dengan bakal suamiku. Seperti mahu menekup muka dan menggosok-gosok mata. Antara percaya dan juga tidak. Sahabat itu! Ya. Sahabat itu. Ada rasa gembira mula berputik di hati. 


"Aku pun tak sangka. Macam mana dengan Mr. Secret Smile kau? Kau selalu tulis pasal dia. Boleh ke kau lupakan dia?" Bertubi-tubi soalan yang ditujukan padaku.

   Aku terdiam sebentar. Mencari bait kata yang sesuai dan terbaik.

"Awak akan jadi suami saya. Kalau awak tak suka, saya janji saya tak akan sebut lagi, atau tulis lagi tentang Mr. Secret Smile. Saya janji." Ada sedikit rasa ralat dalam hati. Tapi rasa bahagia yang mula menyelinap masuk mematikan segala rasa lain yang menjalar.

"Sejujurnya, saya suka awak. Cuma suka awak pada Mr. Secret Smile, buat saya matikan rasa saya. Tapi saya bersyukur, mungkin ini dah memang jodoh kita. Semua dah tertulis oleh DIA. Saya janji saya akan jadi suami yang baik, yang akan bersama dengan awak, dalam susah dan senang." Senyumnya kelihatan sangat manis dan ikhlas di pandangan mataku. Aku tahu ketika itu, aku akan bahagia.


* * * * *

   Dialah suamiku. Dialah sahabat itu. Sahabat yang tersalah nombor dan tersilap sms kepada seorang nyonya. Sahabat yang pernah mengarahkan aku menemaninya ketika dia menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sahabat yang pernah mengatakan aku seorang doktor yang sombong dan jual mahal. Sahabat yang dulunya selalu ada tapi makin hari makin tenggelam timbul khabar beritanya. Sahabat yang aku sangkakan akan hilang dari hidup aku. Sahabat yang akhirnya menjadi suamiku yang sah.

"Mr. Secret Smile macam mana ummi? Dia tak pernah tahu ummi sukakan dia?" Alia tiba-tiba bertanya padaku.

Aku ketawa kecil. Aku pandang suamiku. "Abang ingat tak 17 tahun yang lepas abang pernah buat saya menangis di hari lahir saya?"

"Mestilah abang ingat. Entry Selamat Hari Jadi Sayang dah terpampang besar komen awak yang menangis sebaldi. Haha." Ujar suamiku sambil gelak besar.


   Aku cubit lengan suamiku tapi pantas saja dia mengelak. Mengekek sekali ketawa suamiku. Aku capai sebatang pen dan sehelai kertas. Aku coretkan sesuatu di atasnya lalu aku hulurkan pada suamiku.

"URL apa yang sayang bagi dekat abang ni?" Suamiku bertanya dengan nada pelik sambil tangannya mencapai tablet di sisi meja. Laju saja jarinya mengetuk papan QWERTY itu. Lalu ditekan GO.

 http://nurfarhanaabdullah.blogspot.com/2010/09/koleksi-entry-yang-penulis-rasa-best.html

 Aku lihat mata suamiku bergenang dengan air mata. Aku genggam tangannya. Entah kenapa aku juga turut merasa sebak. Kolam air mataku juga sudah tunggu masa saja mahu mengalir. Lalu aku bersuara dengan nada sebak.


"Abang tahu tak, dalam novel Nadya : Kisah Dari Negeri Yang Menggigil ada satu ayat yang saya suka sangat, SEBAB SETELAH HUJAN SELALU AKAN ADA SESEORANG YANG DATANG SEBAGAI PELANGI, DAN MEMELUKMU..."

Aku sambung lagi, "SAYA INGIN ORANG ITU SELAMANYA SAYA."

   Suamiku tersenyum memandangku. Dikucupnya dahiku dengan penuh rasa sayang. Aku dapat rasakan air matanya jatuh menyapa wajahku.


"Abang tak tahu, yang selama ini Mr. Secret Smile adalah abang sendiri. Peliknya rasa bila cemburu pada diri sendiri." Ujar suamiku sambil ketawa kecil.

"Tapi, kenapa abang? Kenapa Mr. Secret Smile?" Tanya suamiku kebingungan.

Aku memandang sepasang mata suamiku dalam-dalam. "Secret. Yang penting abang kena tahu, cuma abang saja. Kamu saja yang mampu membuat diriku gembira."

   Suamiku memelukku erat. Terasa kasih sayang yang menggunung dalam dakapannya itu.

"Sayang, mencintaimu adalah masa di mana aku senantiasa harus belajar. Tentang kamu. Tentang aku. Tentang kita. Setiap saat. Dari waktu ke waktu. Karena ternyata mencintaimu tak cukup hanya sekali bagiku."

 Aku tersenyum. Aku lihat kedua anak kembarku di sisi juga tersenyum simpul. Aku memanjatkan rasa syukur dalam hati.

"Saya cintakan awak. Dan kali ini dua juta kali dan dua." Suamiku menghadiahkan sebuah ciuman ke pipiku. Merona kemerahan pipiku kerana dicium dihadapan anak kembarku.

  Aku tersenyum lagi untuk yang kesekian kalinya sambil memandang suamiku, "Terima kasih sayang."

- TAMAT -


CREDIT PICTURES TO UPLOADER. THANK YOU.
:)

 Sayang, mencintaimu adalah masa di mana aku senantiasa harus belajar. Tentang kamu. Tentang aku. Tentang kita. Setiap saat. Dari waktu ke waktu. Karena ternyata mencintaimu tak cukup hanya sekali bagiku.
[PEBBI TIFFANY TARIGAN]

Terima kasih juga untuk lagu KAMU SAJA - AINAN TASNEEM yang menemani aku menyelesaikan final editing untuk cerpen Sayang, Kamu Saja! Terima kasih.



0 comments: